Wednesday 30 October 2013

Baja berasaskan kulit telur/kulit siput/kulit kerang/kulit ketam

Teks : Zaida Zainol



Hmm, sedapnya kerang, ketam dan siput bakar. Dicecah pula dengan sos pencicah atau air asam. Dimakan pula dengan nasi panas beserta ulam-ulaman segar. Tentu memecah selera. Tahukah anda, kulit kerang-kerangan tersebut boleh juga dikitar semula menjadi baja. Ikuti langkah tersebut :

1.      Bakar kulit telur/kulit siput/kulit kerang/kulit ketam
2.      Ambil kira-kira 100 gram kulit telur/kerang/siput/ketam yang telah dibakar tadi bersama 1 Liter cuka. Campurkan dalam satu balang.
3.      Tutup ketat dengan penutup bekas
4.       Peram selama 30 hari
5.      Tapis untuk dapatkan cecair baja
6.      Ambil 1 sudu besar cecair baja dan campur kedalam 10 Liter air
7.      Siramkan sahaja pada tanaman

Sunday 27 October 2013

Baja berasaskan Ikan/Sisa ikan



Teks : Zaida Zainol

    Tatkala menyiang ikan, air basuhan ikan seeloknya jangan dibuang. Kita boleh menggunakan air basuhan ikan tersebut sebagai air siraman dan baja sekaligus.  Namun, tentunya terdapat insang dan perut ikan yang perlu dibuang. Hendak diberi pada kucing, adakalanya kucing pun tak ada selera untuk menjamahnya, lalu meninggalkannya begitu sahaja. Sudahnya, ia menjadi tumpuan lalat dan berbau busuk. Daripada dibuang terus ke tong sampah, jom cuba buat baja ini :

1.      Campurkan 1 kg gula merah bersama 1 kg sisa/tulang ikan
2.       Tutup dengan kertas putih dan ikat.
3.       Peram selama 14 hari.
4.       Tapis untuk dapatkan cecair baja.
5.       Ambil 1 sudu besar cecair baja dan campur kedalam 5 liter air.
6.       Siram pada tanaman


Saturday 26 October 2013

Baja berasaskan tulang



Teks : Zaida Zainol

Biasanya selepas menikmati hidangan, sisa tulang dibuang begitu sahaja. 
Apa kata kita cuba kaedah berikut bagi menghasilkan baja : 

1.      Bakar tulang (Contohnya tulang ayam/lembu/kambing)
2.      Ambil 100 gram tulang bakar bersama 1 Liter Cuka dicampurkan dalam satu balang
3.      Tutup ketat dengan penutup bekas
4.       Peram selama 30 hari
5.      Tapis untuk dapatkan cecair baja
6.      Ambil 1 sudu besar cecair baja dan campur kedalam 10 Liter air
7.      Siramkan sahaja pada tanaman

Saturday 12 October 2013

Kuala Gula - Ketam Kulit Lembut

Teks dan gambar : Zaida Zainol


Entri kali ini berkisar mengenai percutian keluarga kami ke Kuala Gula, Perak Darul Ridzuan. Walaupun sudah banyak tempat di Malaysia sudah kami jelajahi, namun percutian kali ini benar-benar mekekat di sanubari. Sebenarnya ibu dan ayah pernah membawa kami adik beradik ke sini hampir sepuluh tahun yang lalu. Maklumlah, cuma 40 minit perjalanan berkereta dari rumah. Namun, ketika itu kami hanya melihat-lihat sekitar dan makan di sebuah restoran di tepi sungai tersebut. Pada waktu itu, saya cuma tahu Kuala Gula adalah sebuah perkampungan nelayan yang mempunyai sebuah restoran makanan laut terapung.


Apa yang menariknya di Kuala Gula? Ya, pada saya ini adalah tempat yang paling ideal untuk membawa keluarga tanpa stress. Suasananya tenang, pemandangan yang sangat indah, tidak sibuk, juga tidak sesak dengan manusia dan kenderaan. Yang paling istimewa, adanya hidangan ketam lembut yang terkenal dan diakui segar dan sedap, boleh dimakan seekor-seekor bersekali kulitnya. Di restoran yang terdapat di chalet ini, kami terpikat dengan masakan ketamnya selain masakan ala Thai lain yang boleh dikatakan dalam jumlah yang agak banyak untuk seorang makan berbanding di restoran lain yang sering kami ketemui. Gambar di bawah menunjukkan hidangan tengahari kami sebelum berangkat pulang. Sudah tentu ada ketam lembut yang sedap itu. Ya, setiap satu hidangan itu untuk seorang makan.  Memang berbaloi, harga hidangannya pula adalah harga standard direstoran biasa, bukan di resort. Harga ketam lembut bermula dari RM5.00 seekor. Ikut suka hati, suka suka hati (bak kata Chef Ammar) bagaimana nak ketam ni dimasak oleh chef. Pada saya, saya suka yang berkuah. Terasa kemanisan ketam menyerap kedalam kuah. Saya telah mencuba ketam celup tepung untuk makan tengahari setibanya disini selepas daftar masuk bilik. Dan mencuba ketam masak paprik untuk makan malam. Sebelum pulang, order lagi ketam masak masam manis. Lagi - lagi ketam. Hahaha. Selain itu, layanan oleh petugas di kaunter hadapan pengurusan chalet dan di kaunter pembayaran di restoran sangat memuaskan.




Kami bermalam di chalet Kuala Gula Sanctuary dengan bayaran RM130 semalam (Caj tambahan RM20 telah dikenakan untuk hari minggu/cuti sekolah/cuti umum). Biasanya apabila bermalam di mana-mana tempat penginapan, kita perlu mengangkat segala beg sendiri ke dalam bilik. Tapi disini, kami boleh meletakkan kenderaan di betul-betul hadapan pintu masuk chalet. Seronoknya tidak terkata, tak perlu bersusah payah mengangkut beg. Keadaan bilik yang kami diami bertaraf dua atau tiga bintang, cukup selesa untuk kami lima beranak yang tidak begitu cerewet.

 Pemandangan dari bilik penginapan

Bagi kaki pancing, tentunya saat yang mengujakan apabila dapat memancing dengan selesa dari balkoni bilik penginapan. Kami tidak melepaskan peluang ini dengan turut sama memancing berlatarbelakangkan hutan paya bakau yang menjadi tumpuan burung berhijrah dari seluruh dunia yang menghuni sementara kawasan ini.

Pemandangan yang mengasyikkan


Friday 11 October 2013

Kucing vs Rezeki

Teks : Zaida Zainol
Gambar : Google

Ramai di antara kita yang sangat pemurah dan rajin bersedekah. Banyak cara untuk bersedekah, antaranya melalui wang ringgit, harta benda, doa dan tidak lupa senyuman. Saya sering terlihat nenek di kampung bercakap-cakap dengan kucing, ayam, itik, lembu dan kambingnya. Kadang-kadang lucu juga, nada suaranya seperti bercakap dengan anak, cucu dan cicitnya. Sekejap nada tinggi memarahi. Sekejap nada perlahan umpama menasihati. Malah, kadang-kadang kedengaran sayu seperti meluahkan perasaan. Nenek saya tidak keseorangan. Anak yang bongsu tinggal bersamanya, malah ada beberapa orang anak dan cucu-cucunya juga tinggal bersebelahan. 

Teringat kata-kata ibu, tatkala saya menceritakan perihal kucing-kucing liar yang kerap mengotori dalam dan halaman rumah dengan najis mereka setelah diberi makanan. Kata ibu, berilah makanan pada kucing tersebut. Dan bercakap-cakaplah dengan mereka. Nasihati mereka dengan lembut apa yang kita tidak berkenan. Jika mahu, belailah kepala dan lehernya semasa bercakap mengadap mereka. Juga, minta mereka doakan agar kita dimurahkan rezeki oleh Allah, lalu dapat berkongsi lebih banyak rezeki dengan mereka. Sebenarnya mereka memahami bahasa kita. Cuma kita yang tidak memahami bahasa mereka. 

Setelah itu, saya cuba mengaplikasikan nasihat ibu. Alhamdulillah, kucing-kucing tersebut tidak lagi mengotori rumah saya. Dan saya percaya, doa haiwan yang tidak berdosa ini adakalanya lebih makbul daripada kita sebagai manusia yang penuh dengan dosa setiap hari. 
 


Thursday 10 October 2013

Baja dari buah-buahan



Teks : Zaida Zainol
Gambar : Google

Kaedah membuat baja daripada buah buahan

Tentunya ramai dikalangan kita yang kerap membuang begitu sahaja kulit buah yang telah dikupas seperti oren, nenas, pisang dan lain-lain. Sesekali apa salahnya kita cuba membuat baja daripada sisa buahan ini dengan memprosesnya menjadi baja yang berguna dan menjimatkan. Ikuti langkah dibawah :

1. Potong 1 kg buah-buahan atau kulit buah-buahan. Apa sahaja jenis dan warna buah-buahan boleh digunakan untuk membuat baja jenis ini.

2. Campurkan 1 kg gula merah

3. Tutup dengan kertas putih dan ikat

4. Peram selama 7 hari

5. Tapis untuk dapatkan cecair baja

6. Ambil 1 sudu besar cecair baja dan campur kedalam 5 liter air

7. Siramkan sahaja pada tanaman

Buah-buahan

Wednesday 9 October 2013

Baja dari sayuran hijau

Teks : Zaida Zainol
Gambar : Google

Kaedah membuat baja hijau

1. Potong 1 kg tumbuhan, sayuran atau buah berwarna hijau .Contohnya kangkung, batang pisang, bayam, buah muda dan lain-lain. Sesekali saya juga menggunakan sayuran bermasak yang tidak habis dimakan atau basi (selepas dibilas dan dibuang airnya).

2. Campurkan 1 kg gula merah

3. Tutup dengan kertas putih dan ikat

4. Peram selama 7 hari

5. Tapis untuk dapatkan cecair baja

6. Ambil 1 sudu besar cecair baja dan campur kedalam 5 liter air

7. Siramkan sahaja pada tanaman

 Sayuran hijau





Tuesday 8 October 2013

Baja organik

Teks : Zaida Zainol

Setiap hari, setiap isi rumah menghasilkan sampah domestik dalam jumlah yang banyak. Sebaiknya, aktiviti kitar semula boleh dipraktikkan demi mengurangkan sampah sarap, mengurangkan pencemaran, malah boleh menyuburkan tanah melalui penghasilan baja organik. Penggunaan baja yang terhasil daripada bahan atau sisa makanan  adalah digalakkan sebagai amalan pertanian secara semulajadi (Natural Farming-NF). Kaedah ini selamat, hanya menggunakan sisa makanan, kos yang sangat minimum (atau hampir tiada) dan bebas dari penggunaan bahan kimia

Terdapat 5 jenis baja cecair NF yang boleh dihasilkan sendiri dirumah  iaitu :

1. Baja Hijau
2. Baja Buah-Buahan
3. Baja berasaskan Ikan
4. Baja berasaskan Tulang
5. Baja berasaskan Kulit Telur / Kerang / Siput

Setiap satunya akan saya terangkan dalam entri akan datang. Insya Allah.

Sunday 6 October 2013

Tanaman - Bahagian 4



 Teks dan gambar : Zaida Zainol

Membelek gambar lama dari komputer, mata tertambat pada koleksi hasil pertanian yang sempat dirakam lensa kami. Di waktu ini, memang meriah hasil tanaman di sekitar halaman rumah. Suatu keseronokan pula dapat mengutipnya  dan memenuhkan bakul dengan hasil tanaman kami.  Banyak juga hasil tanaman yang tidak sempat diabadikan dalam bentuk foto, tetapi terakam indah dalam memori kami sekeluarga.

 Musim menuai hasil kacang botol dan bendi. Sayuran tersebut dituai seminggu sekali.