Saturday 28 September 2013

Tanaman - Bahagian 2

Teks dan gambar : Zaida Zainol

Berikutan entri saya terdahulu, dikongsikan tentang tanaman yang mudah hidup tanpa perlu penjagaan yang teliti. Cukup dengan menyiram air secara berkala di fasa-fasa terawalnya. Kali ini saya kongsikan mengenai tanaman 3T.  Apa itu 3T?  Ia adalah singkatan daripada - Tabur, Tinggal dan Tuai. Tanaman seperti ubi kayu, peria katak, cili, pegaga, pudina, tebu dan  kangkung  adalah tanaman yang sangat mudah ditanam. Biasa saya gunakan istilah 3T ini sebagai metafora daripada kaedah penanaman dan penyelenggaraannya yang sangat minimum. Hanya cucuk batang ubi kayu atau tebu, Insya Allah akan tumbuhlah pucuk pada setiap ruasnya. Tabur sahaja biji betik, peria katak dan cili. Insya Allah akan tumbuh anak pokoknya beberapa minggu kemudiannya.  Cuma tanam  bawang besar, akar daun pudina  atau kangkung, Insya Allah akan bercambahlah tunasnya.  Lempar sahaja batang kangkung ke tanah, Insya Allah bertunasnya anak pokok pada setiap setiap ruasnya. Semua pokok yang saya nyatakan disini telahpun saya aplikasikan di halaman sendiri. Hasilnya cukup mengujakan. Saya suka mengutip kangkung dengan memotong dari bahagian daun ke tangkainya sahaja. Batang dan bunganya dibiarkan hidup dan bagi memberi peluang pokok tersebut meneruskan legasinya menambahbiak habitatnya untuk dituai  lagi pada bulan hadapan. Tambahan pula anak-anak gemar menikmati kangkung tetapi menolak bahagian batangnya yang keras. Jadi, setiap kali membeli kangkung, suatu keseronokan pula bagi anak-anak untuk membantu saya di dapur secara sukarela dengan menawarkan diri untuk mengasingkan daun dari batangnya. Batang kangkung ini saya lemparkan pada rumpunan kangkung yang sedang merimbun, bagi menambahkan jumlahnya dimasa akan datang. 

Saya suka melihat lubang-lubang yang terdapat pada helaian dedaunannya. Menunjukkan ianya seratus peratus organik. Tiada pencemaran bahan kimia beracun yang menyelaputi tanaman saya. Disamping itu, saya juga berniat dengan menanam tanaman ini, saya dapat meraih pahala dan mewujudkan persekitaran seimbang dengan makhluk lain dengan membantu membekalkan makanan kepada ulat (dan siput babi) yang meratah tanaman saya setiap hari. Sebagai timbal balik, tanaman ini juga merupakan penyumbang oksigen kepada alam sekitar selain membekalkan serat dan nutrisi yang banyak untuk kesihatan tubuh badan kami sekeluarga. Biasanya sekali tuaian cukup untuk dibuat sarapan pagi 'colek malah' (hidangan tradisi masyarakat kelantan seumpama cucur udang tetapi menggantikan kucai dan dan tauge dengan  sayur kangkung segar. Walaupun disebut colek malah (malas) tetapi memerlukan kerajinan juga untuk membuatnya ya) dan satu hidangan kangkung goreng belacan untuk makan tengahari. Sungguh menjimatkan.



Hasil tuaian bernilai RM 3.00 (harga pasaran di tempat saya)

Thursday 26 September 2013

Tanaman - Bahagian 1

Teks dan gambar : Zaida Zainol

Kenaikan harga barangan utama saban hari memang merunsingkan semua. Apatah lagi yang membabitkan keluarga berpendapatan sederhana dan rendah. Bagi keluarga kami, sesekali menjamah makanan yang dipetik di halaman rumah sendiri memang mengujakan. Tambahan lagi ianya bebas sama sekali dari diselaputi sebarang racun perosak yang  biasa digunakan para petani komersial sebagai langkah pengawalan serangga perosak. Sekalipun cabaran kami dalam menanam hasil tanaman sendiri agak mencabar, namun kami  berusaha secara 'cuba dan gagal' atau 'trial and error' tanaman yang sesuai ditanam disebabkan kekangan yang melanda. Antara masalah kami ialah serangan anai-anai yang cukup banyak dan kerap menyerang dan berumah di sekitar tanaman yang ditanam.  Begitu juga tanah bercampur batu yang terhasil dari sisa pembinaan yang dilonggokkan di kawasan bertanah di sekitar halaman rumah. Hasilnya, banyak pokok yang mati sebelum sempat membesar. Bukan calang-calang pokok yang mampu hidup disekitaran begitu. Namun, ada juga yang mampu menyesuaikan diri disini dan hidup dengan subur walaupun mengambil tempoh yang agak lama daripada biasa. Contohnya pokok pisang, lengkuas dan serai yang mempunyai daya kekebalan yang tinggi berbanding pokok-pokok lain. Kami sebenarnya cuma mendiami rumah teres dengan keluasan tanah yang terhad. Keseronokan memiliki rumah sendiri setelah beberapa tahun menyewa mencambahkan minat terhadap tanaman. Seronoknya bila tiba tempoh tuaian, memang teruja mencabut serai dan lengkuas, menyisihkan pisang dari tandannya dan membahagi-bahagikan kesemuanya kepada para jiran.  Moga-moga ini menjadi sedekah jariah buat kami sekeluarga, buat bekal di alam sana. Disamping itu, dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama jiran  dan menjimatkan belanja dapur, walaupun dalam kuantiti yang sedikit. Buat para suri yang bekerja di luar mahupun sepenuh masa, jom kita bertani sambil beribadat.



Sebahagian lengkuas jenis tempatan yang dituai ramadan lalu berjumlah lebih 10kg. 
Si kecil ini bertindak sebagai penghias gambar.

Tuesday 17 September 2013

Kembali semula


Teks : Zaida Zainol

Bismillah.Alhamdulillah.

Sudah berbulan lamanya saya tidak mengemaskini blog ini. Sepanjang hari sibuk dengan urusan keluarga dan bisnes, saya meninggalkan blog ini bersawang. Maafkan saya. Mesej whatsapp yang penuh kasih sayang dari adik saya jumaat lepas jauh di perantauan agar saya kembali menulis sehingga berjaya ke peringkat menulis senaskah buku. Teruja mendengarkan khabarnya apabila beliau sudah pun berjaya menyiapkan senaskah buku dan telah diluluskan penerbitannya di Malaysia. Insya Allah akan dipasarkan di Malaysia tidak lama lagi. Ini membuatkan ingatan saya terpanggil secara automatik untuk kembali menyerap ilmu bersama rakan-rakan Akademi di Kelas Asas Blog dan Penulisan dengan kembali menulis blog ini. Apa yang mengkagumkan saya mengenai adik yang seorang ini,  beliau sangat berbakat dalam penulisan. Walaupun bukanlah selebriti, tidak juga pernah menghiasi dada akhbar mahupun tv.  Tulisannya sangat dinanti-nanti peminatnya. Setiap statusnya yang ditulis di facebook adakalanya mendapat ribuan 'LIKE' dan ratusan 'SHARE'. Hmm. Jam sudah menginjak hampir senja. Jumpa lagi ya.