Wednesday 2 October 2013

Solusi menjimatkan keperluan dapur

Teks : Zaida Zainol
Gambar :  Pemilik blog

Assalamualaikum

Entri kali ini masih berkisar tentang solusi menjimatkan keperluan dapur yang saya amalkan. Saya akui, jika anda mengikuti tips yang saya nyatakan dalam siri-siri terdahulu dan akan datang, ia tidak akan membuatkan anda kaya raya hasil dari penjimatan tersebut. Tetapi  pada saya, ia lebih kepada beberapa faktor :

1) Emosi dan serapan aura positif  - Gembira melihatkan perkembangan pokok-pokok yang membesar saban hari.

2) Kos  - Ya, adakalanya saya tidak perlu keluar membeli sayuran untuk hari tersebut dengan hanya mengutip tumbuhan yang ada di sekitar rumah

3) Timbal balik dan berasimilasi dengan alam sekitar  - Manusia dan tumbuhan saling memerlukan dalam pembekalan oksigen dan karbon dioksida

4) Penyuburan tanah  - Tanah yang ditanam dengan pelbagai tumbuhan lebih tinggi khasiat nutriennya dan lebih baik daripada tanah gersang yang keras tanpa tanaman. 

5) Ladang pahala - Tak mungkin kami sekeluarga dapat menghabiskan setandan pisang dalam tempoh yang singkat. Paling banyak, cuma dua sikat pisang. Jadi, ada sekurang-kurangnya lapan ikat pisang lagi yang merupakan nikmat Allah yang disalurkan rezekiNya kepada kami sekeluarga untuk bahagian orang lain. Kalau dibiarkan juga pisang tersebut, ianya akan berulat dan tidak boleh dimakan lagi. Bahagian lain itulah kami sedekahkan pada jiran dan saudara untuk dinikmati bersama. Kita tidak perlu tergolong dalam golongan yang kaya dengan wang untuk memungkinkan kita bersedekah. Banyak lagi cara lain, dan ini adalah salah satu alternatifnya.

6) Mengukuhkan persahabatan dengan jiran - Adakalanya apabila terlalu sibuk dengan rutin harian, kita tidak sempat untuk berbual dan menyapa jiran sekitar. Gembirakan jiran anda dengan bertanya khabar mereka sekali sekala sambil membawa buah tangan hasil tanaman anda. Bukankah tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima. Tentu mereka berbesar hati menerima hadiah anda walaupun nilainya sangat kecil, tetapi besar di mata mereka.



Lima pokok pisang kami berbuah serentak, sekaligus menghasilkan lima jantungnya. 
Jantung pisang ini sedap direbus dan dibuat ulam bercicahkan sambal belacan, sambal tempoyak atau budu. 
Boleh dijadikan kerabu, dibuat kari bersama ikan bilis atau daging lembu, juga pajeri bersama nenas dan terung. Ada banyak lagi masakan berasaskan jantung pisang ini, anda boleh bereksperimen di dapur dan sesuaikannya mengikut selera keluarga.



No comments:

Post a Comment