Thursday 26 September 2013

Tanaman - Bahagian 1

Teks dan gambar : Zaida Zainol

Kenaikan harga barangan utama saban hari memang merunsingkan semua. Apatah lagi yang membabitkan keluarga berpendapatan sederhana dan rendah. Bagi keluarga kami, sesekali menjamah makanan yang dipetik di halaman rumah sendiri memang mengujakan. Tambahan lagi ianya bebas sama sekali dari diselaputi sebarang racun perosak yang  biasa digunakan para petani komersial sebagai langkah pengawalan serangga perosak. Sekalipun cabaran kami dalam menanam hasil tanaman sendiri agak mencabar, namun kami  berusaha secara 'cuba dan gagal' atau 'trial and error' tanaman yang sesuai ditanam disebabkan kekangan yang melanda. Antara masalah kami ialah serangan anai-anai yang cukup banyak dan kerap menyerang dan berumah di sekitar tanaman yang ditanam.  Begitu juga tanah bercampur batu yang terhasil dari sisa pembinaan yang dilonggokkan di kawasan bertanah di sekitar halaman rumah. Hasilnya, banyak pokok yang mati sebelum sempat membesar. Bukan calang-calang pokok yang mampu hidup disekitaran begitu. Namun, ada juga yang mampu menyesuaikan diri disini dan hidup dengan subur walaupun mengambil tempoh yang agak lama daripada biasa. Contohnya pokok pisang, lengkuas dan serai yang mempunyai daya kekebalan yang tinggi berbanding pokok-pokok lain. Kami sebenarnya cuma mendiami rumah teres dengan keluasan tanah yang terhad. Keseronokan memiliki rumah sendiri setelah beberapa tahun menyewa mencambahkan minat terhadap tanaman. Seronoknya bila tiba tempoh tuaian, memang teruja mencabut serai dan lengkuas, menyisihkan pisang dari tandannya dan membahagi-bahagikan kesemuanya kepada para jiran.  Moga-moga ini menjadi sedekah jariah buat kami sekeluarga, buat bekal di alam sana. Disamping itu, dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama jiran  dan menjimatkan belanja dapur, walaupun dalam kuantiti yang sedikit. Buat para suri yang bekerja di luar mahupun sepenuh masa, jom kita bertani sambil beribadat.



Sebahagian lengkuas jenis tempatan yang dituai ramadan lalu berjumlah lebih 10kg. 
Si kecil ini bertindak sebagai penghias gambar.

No comments:

Post a Comment