Saturday 12 October 2013

Kuala Gula - Ketam Kulit Lembut

Teks dan gambar : Zaida Zainol


Entri kali ini berkisar mengenai percutian keluarga kami ke Kuala Gula, Perak Darul Ridzuan. Walaupun sudah banyak tempat di Malaysia sudah kami jelajahi, namun percutian kali ini benar-benar mekekat di sanubari. Sebenarnya ibu dan ayah pernah membawa kami adik beradik ke sini hampir sepuluh tahun yang lalu. Maklumlah, cuma 40 minit perjalanan berkereta dari rumah. Namun, ketika itu kami hanya melihat-lihat sekitar dan makan di sebuah restoran di tepi sungai tersebut. Pada waktu itu, saya cuma tahu Kuala Gula adalah sebuah perkampungan nelayan yang mempunyai sebuah restoran makanan laut terapung.


Apa yang menariknya di Kuala Gula? Ya, pada saya ini adalah tempat yang paling ideal untuk membawa keluarga tanpa stress. Suasananya tenang, pemandangan yang sangat indah, tidak sibuk, juga tidak sesak dengan manusia dan kenderaan. Yang paling istimewa, adanya hidangan ketam lembut yang terkenal dan diakui segar dan sedap, boleh dimakan seekor-seekor bersekali kulitnya. Di restoran yang terdapat di chalet ini, kami terpikat dengan masakan ketamnya selain masakan ala Thai lain yang boleh dikatakan dalam jumlah yang agak banyak untuk seorang makan berbanding di restoran lain yang sering kami ketemui. Gambar di bawah menunjukkan hidangan tengahari kami sebelum berangkat pulang. Sudah tentu ada ketam lembut yang sedap itu. Ya, setiap satu hidangan itu untuk seorang makan.  Memang berbaloi, harga hidangannya pula adalah harga standard direstoran biasa, bukan di resort. Harga ketam lembut bermula dari RM5.00 seekor. Ikut suka hati, suka suka hati (bak kata Chef Ammar) bagaimana nak ketam ni dimasak oleh chef. Pada saya, saya suka yang berkuah. Terasa kemanisan ketam menyerap kedalam kuah. Saya telah mencuba ketam celup tepung untuk makan tengahari setibanya disini selepas daftar masuk bilik. Dan mencuba ketam masak paprik untuk makan malam. Sebelum pulang, order lagi ketam masak masam manis. Lagi - lagi ketam. Hahaha. Selain itu, layanan oleh petugas di kaunter hadapan pengurusan chalet dan di kaunter pembayaran di restoran sangat memuaskan.




Kami bermalam di chalet Kuala Gula Sanctuary dengan bayaran RM130 semalam (Caj tambahan RM20 telah dikenakan untuk hari minggu/cuti sekolah/cuti umum). Biasanya apabila bermalam di mana-mana tempat penginapan, kita perlu mengangkat segala beg sendiri ke dalam bilik. Tapi disini, kami boleh meletakkan kenderaan di betul-betul hadapan pintu masuk chalet. Seronoknya tidak terkata, tak perlu bersusah payah mengangkut beg. Keadaan bilik yang kami diami bertaraf dua atau tiga bintang, cukup selesa untuk kami lima beranak yang tidak begitu cerewet.

 Pemandangan dari bilik penginapan

Bagi kaki pancing, tentunya saat yang mengujakan apabila dapat memancing dengan selesa dari balkoni bilik penginapan. Kami tidak melepaskan peluang ini dengan turut sama memancing berlatarbelakangkan hutan paya bakau yang menjadi tumpuan burung berhijrah dari seluruh dunia yang menghuni sementara kawasan ini.

Pemandangan yang mengasyikkan


2 comments:

  1. Hmm .. seronok ehh dapat bercuti ... saya datang Kuala Gula makan ketam lembut je .. hehehe...


    HASRULHASSAN.COM

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang best. Ketam lembut ni specialty kat Kuala Gula ni. Susah nak dapat kat tempat lain kecuali di beberapa restoran dan hotel mewah. Tapi harganya tentulah 5-6 kali ganda lebih mahal..

      Delete