Saturday 28 September 2013

Tanaman - Bahagian 2

Teks dan gambar : Zaida Zainol

Berikutan entri saya terdahulu, dikongsikan tentang tanaman yang mudah hidup tanpa perlu penjagaan yang teliti. Cukup dengan menyiram air secara berkala di fasa-fasa terawalnya. Kali ini saya kongsikan mengenai tanaman 3T.  Apa itu 3T?  Ia adalah singkatan daripada - Tabur, Tinggal dan Tuai. Tanaman seperti ubi kayu, peria katak, cili, pegaga, pudina, tebu dan  kangkung  adalah tanaman yang sangat mudah ditanam. Biasa saya gunakan istilah 3T ini sebagai metafora daripada kaedah penanaman dan penyelenggaraannya yang sangat minimum. Hanya cucuk batang ubi kayu atau tebu, Insya Allah akan tumbuhlah pucuk pada setiap ruasnya. Tabur sahaja biji betik, peria katak dan cili. Insya Allah akan tumbuh anak pokoknya beberapa minggu kemudiannya.  Cuma tanam  bawang besar, akar daun pudina  atau kangkung, Insya Allah akan bercambahlah tunasnya.  Lempar sahaja batang kangkung ke tanah, Insya Allah bertunasnya anak pokok pada setiap setiap ruasnya. Semua pokok yang saya nyatakan disini telahpun saya aplikasikan di halaman sendiri. Hasilnya cukup mengujakan. Saya suka mengutip kangkung dengan memotong dari bahagian daun ke tangkainya sahaja. Batang dan bunganya dibiarkan hidup dan bagi memberi peluang pokok tersebut meneruskan legasinya menambahbiak habitatnya untuk dituai  lagi pada bulan hadapan. Tambahan pula anak-anak gemar menikmati kangkung tetapi menolak bahagian batangnya yang keras. Jadi, setiap kali membeli kangkung, suatu keseronokan pula bagi anak-anak untuk membantu saya di dapur secara sukarela dengan menawarkan diri untuk mengasingkan daun dari batangnya. Batang kangkung ini saya lemparkan pada rumpunan kangkung yang sedang merimbun, bagi menambahkan jumlahnya dimasa akan datang. 

Saya suka melihat lubang-lubang yang terdapat pada helaian dedaunannya. Menunjukkan ianya seratus peratus organik. Tiada pencemaran bahan kimia beracun yang menyelaputi tanaman saya. Disamping itu, saya juga berniat dengan menanam tanaman ini, saya dapat meraih pahala dan mewujudkan persekitaran seimbang dengan makhluk lain dengan membantu membekalkan makanan kepada ulat (dan siput babi) yang meratah tanaman saya setiap hari. Sebagai timbal balik, tanaman ini juga merupakan penyumbang oksigen kepada alam sekitar selain membekalkan serat dan nutrisi yang banyak untuk kesihatan tubuh badan kami sekeluarga. Biasanya sekali tuaian cukup untuk dibuat sarapan pagi 'colek malah' (hidangan tradisi masyarakat kelantan seumpama cucur udang tetapi menggantikan kucai dan dan tauge dengan  sayur kangkung segar. Walaupun disebut colek malah (malas) tetapi memerlukan kerajinan juga untuk membuatnya ya) dan satu hidangan kangkung goreng belacan untuk makan tengahari. Sungguh menjimatkan.



Hasil tuaian bernilai RM 3.00 (harga pasaran di tempat saya)

No comments:

Post a Comment