Sunday 30 June 2013

Ubat cacing yang sedap

Hari ini saya ingin bercerita mengenai ubat cacing. Ubat cacing? Dengar sahaja ibu sebut ni, anak-anak dah mengelak. Tak sanggup makan ubat yang berwarna putih, likat dan sangat tidak sedap itu. Pening juga memikirkan alternatif yang sesuai diberi menggantikan ubat yang dibekalkan oleh jururawat. Ubat ini perlu diberikan kepada anak-anak setiap enam bulan sekali dalam satu dos sahaja bagi menangani masalah cacing yang biasa melanda kanak-kanak. Tak kira samada kanak-kanak itu sihat atau tidak, ubat ini disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai tindakan pengawalan penyakit yang mungkin menyerang kanak-kanak. 

Tahukah anda, cacing biasa masuk ke dalam tubuh kita melalui dua cara? 

1) Melalui telur cacing dari makanan yang kotor dan tercemar. 
2) Cacing ni mampu membolosi melalui penembusan jejentik ke kulit kita. 

Antara cacing yang kerap berada didalam tubuh kanak-kanak di Malaysia adalah :
  1. Cacing gelang (Ascaris Lumbricoides) – besar macam gelang, boleh memasuki hati dan paru-paru.
  2. Cacing kerawit (Necator Americanus) – mempunyai gigi yang tajam. Ia masuk melalui   kaki dan  kuat menghisap darah
  3. Cacing rambu atau cacing benang – selalu melekat di kawasan dubur, halus 
  4. Cacing pita – seperti pita, pipih tapi panjang, sukar untuk dibunuh.
       Di antara tanda-tanda anak yang mengalami masalah kecacingan ialah :
  • Keluar cacing daripada lubang najis, atau nampak cacing pada najis.
  • Kegatalan terutama di kawasan punggung, lebih pada waktu malam.
  • Sakit perut, cirit-birit, lemah badan, kembung.
  • Tiada selera makan, pucat, kurang berat badan walaupun selera makan ada.
  • Batuk-batuk teruk yang berpanjangan, batuk berdarah, asthma (cacing di paru-paru).
  • Demam, ruam-ruam badan, alahan.
  • Kaki gatal, sakit dan ruam pada kaki, bengkak kaki (untuk cacing kerawit).
 Terdapat dua jenis ubat cacing.

* Albendazole/mebendazole – Ubat ini tidak diserap di dalam badan, jadi ia tinggal di dalam usus besar dan kecil . Ia menghalang sistem kemasukan glukosa yang di perlukan untuk tenaga oleh cacing. Oleh itu, cacing tidak dapat bergerak aktif dan mati kemudiannya.

* Pirantel Pamoate – Ubat ini juga tidak larut di dalam air. ubat ini akan melumpuhkan otot cacing dan menyebabkan cacing-cacing tertanggal dari dinding usus dan dikeluarkan bersama-sama dengan najis.


Biasanya ubat cacing yang biasa digunakan ialah dari jenis Albendazole. Ia dicetak dibahagian hadapan pembungkus ubat tersebut, bagi memudahkan pengguna mengenalpasti ubat mana yang sesuai untuk anak mereka.

Selepas mencari sekian lama, akhirnya saya menemui satu jenama ubat cacing berbentuk tablet berperisa coklat. Terdapat dua biji untuk satu dos, kandungannya sama dengan ubat cecair yang dibekalkan oleh jururawat sebelum ini. Setelah mencuba, anak-anak dapat menerimanya dengan baik. Malahan meminta lebih banyak lagi. Aduhai anak-anak, ini bukan sebarangan gula-gula ya. Tetapi ubat yang tidak boleh diambil secara berlebihan. Menurut maklumat yang dibekalkan pengilang, terdapat sedikit kesan sampingan jika diambil secara berlebihan. Anda mungkin mempunyai sakit kepala, sakit perut atau loya semasa dirawat dengan Champs D-Worms 6 ®. Kesan-kesan sampingan ini lebih cenderung jika anda mengambil Champs D-Worms 6 ® untuk tempoh yang panjang, seperti selama sebulan. Jika anda mengambil Champs D-Worms 6 ® hanya sebagai satu dos, kesan-kesan sampingan ini biasanya tidak mungkin berlaku.








Friday 28 June 2013

Makanan pengaruhi emosi suri

Teks : Zaida Zainol
Ilustrasi : Carian Google Images

Salam semua. Nak sarapan apa pagi ni ya? Hmmm. Jika di kawasan kejiranan saya ini, tak ada banyak pilihan selain kuih muih biasa, nasi lemak dan roti canai. Tetapi jika di Kelantan, menunya sangat pelbagai. Saya suka makan nasi berlauk gulai ayam, pau goreng berinti kacang merah, nasi kerabu daging bakar, ratusan kuih muih yang beraneka di pasar Siti Khatijah. Itu belum lagi menu makan tengahari, menu minum petang dan malam, juga makanan ringan di antara waktu makan. Pendek kata, saya mengiktiraf negeri Kelantan sebagai syurga makanan Melayu. Terdapat juga unsur pengaruh makanan Thailand yang sedap disini, sukar didapati di tempat saya seperti lok cheng dan aiskrim pulut (penjaja aiskrim tersebut perlu membuat satu pusingan untuk memasukkan semua belasan bahan didalam cawan aiskrim, sangat menarik). 

Ada pepatah inggeris mengatakan, bersarapanlah seperti seorang raja, tetapi makan malam seperti seorang miskin. Ini bermakna sarapan perlu berkhasiat dan mengenyangkan, persis seorang raja. Kerana makanan yang dihadam akan membekalkan tenaga yang secukupnya  untuk seharian. Namun, keadaan berbeza sekarang. Ramai cenderung untuk makan bermewah-mewah di waktu makan malam, kemudiannya terus tidur. Kadar kalori yang banyak itu tidak dibakar oleh badan, lalu karbohidrat yang disimpan untuk menghasilkan tenaga ditukar kepada lemak di dalam badan.  Itu antara penyebab kepada obesiti di kalangan rakyat Malaysia. 

Makanan juga mempengaruhi emosi seseorang. Makanan yang berkhasiat, walaupun ringkas dan sekadar mengalas perut mampu menjana tenaga dan daya fikir seseorang. Jika lapar, masakan dapat berfikir dengan fokus dan membuat keputusan dengan rasional. Sebab itulah, antara hikmah kita disunatkan untuk mengambil makanan semasa bersahur, tanda Allah amat menyayangi hambaNya. 









Wednesday 26 June 2013

Tips mengenali kopi berkualiti



Teks : Zaida Zainol
Gambar : Carian Google Images

Hari ini saya cuba mencongak senarai panjang tugasan yang perlu dilakukan sepanjang hari ini. Oh, saya telah tertinggal satu perkara penting yang sememangnya menjadi rutin buat saya setiap bulan. Sebenarnya saya perlu memeriksa stok kopi kampung edaran saya dikedai-kedai runcit dan restoran berhampiran rumah  sebelum menentukan jumlah kilogram yang perlu saya bekalkan kepada mereka. Saya menjalankan perniagaan kopi kampung secara kecil-kecilan.Terdapat pelbagai jenis dan jenama kopi dipasaran. Cuma rasa dan harganyanya adalah berbeza. Bagi  peminat setia kopi, tentunya kopi asli menjadi pilihan. Jangan tersilap ya, kopi yang berjenama, mahal dan gah dipasaran tidak semestinya kopi yang betul-betul asli. Kopi yang saya hasilkan ini adalah daripada kopi yang benar-benar asli. Asli ini bermaksud tiada campuran kacang hijau, butiran gandum atau lain -lain bahan 'filler' (pemenuh) ke dalam ramuannya bagi tujuan mengurangkan kos pembuatan. Hasilnya, walaupun serbuk kopi ini pada fizikalnya sukar dibezakan, namun rasanya jelas ketara.
Berdasarkan pengalaman saya yang sedikit ini, ingin saya kongsikan beberapa tips mengenali kopi kampung yang berkualiti. Cuba kalian uji kopi kampung di rumah dengan sedikit ujikaji ringkas ini. Bancuh kopi dengan air mendidih dan perhatikan beberapa perbezaan (jika ada) samada kopi tersebut benar-benar asli atau tidak. Kopi yang bukan seratus peratus asli mempunyai rasa yang agak hanyir (lebih hanyir jika kuantiti biji gandum yang ditambah lebih banyak sukatannya), tidak likat walaupun kuantiti serbuk kopi ditambah dengan berlebihan. Bagi sesetengah kes, terdapat sedikit butiran putih yang halus terapung di permukaan cawan atau teko, bau kopi yang tidak 'kuat' dan rasa yang kurang sedap.

 Bunga Kopi

Buah Kopi

Bagi kalian yang ingin mencuba kopi saya, silalah berikan nama dan alamat surat menyurat di pn.zaidazainol@gmail.com , Insya Allah saya akan poskan sampel kopi terus ke rumah kalian dengan PERCUMA.


Surirumah sebagai usahawan

APAKAH KITA BERADA DI ZON SELESA?

Cuba fikir dan renungkan sejenak. Seringkali kita mendengar dakwaan seperti ini:

1. Pekerja makan gaji berada dalam zon selesa, takut untuk berubah dan melakukan sesuatu yang di luar kebiasaan. Golongan ini bukanlah golongan yang hebat kerana mereka ada jaminan kerja.

2. Usahawan dikatakan sebagai seorang individu yang berani kerana masuk ke dalam zon tidak selesa di mana mereka tiada gaji dan jawatan tetap.

Tetapi saya berfikir sejenak, betulkah andaian sebegini? Maka saya membuat kesimpulan berikut:

Pekerja makan gaji juga berada di dalam zon tidak selesa, di mana jika mereka ponteng kerja, tidak ikut peraturan majikan, kerja tidak berkualiti, tidak meningkatkan pengetahuan, maka pasti satu hari nanti merea akan disingkirkan oleh majikan.

Usahawan juga berada di dalam zon selesa, di mana sesetengah usahawan lebih selesa melakukan sesuatu yang sudah biasa bagi mereka. Mereka TAKUT untuk bermain dengan risiko yang lebih besar dan tidak biasa bagi mereka.

Usahawan yang tidak berani melakukan sesuatu yang baru adalah usahawan yang sudah selesa dengan usaha yang biasa dilakukannya sejak bertahun-tahun yang lepas. Mereka tetap berada di takuk yang lama.

Pekerja makan gaji yang tidak berhenti kerja dan menjadi usahawan tidak semestinya takut untuk menjadi usahawan kerana seperti yang dinyatakan di atas, mereka juga ada zon tidak selesa mereka sendiri.

Usahawan mampu mencipta zon selesanya sendiri dengan memutuskan untuk tidak melakukan sesuatu yang lebih besar dan mencabar.

Salah satu tanda usahawan yang berada di dalam zon selesa adalah pendapatan mereka tidak meningkat bertahun-tahun lamanya, melakukan perkara yang sama dan tiada peningkatan dalam usaha bisnes.

Pekerja makan gaji yang selesa dengan zon selesanya, akan terus dengan sikap, perangai, fikiran dan ilmu yang sama. Orang lain sudah naik pangkat, tapi dirinya masih ‘di meja yang sama’.

Pekerja makan gaji yang dinamik faham bahawa jawatan kerja mereka bukanlah satu jaminan. Maka mereka memperkasakan lagi diri dengan menambah ilmu dan kemahiran, sama ada ia akan digunakan untuk naik pangkat, memohon pekerjaan yang lebih mencabar dan berguna untuk mereka berdikari andaikata tiada lagi tawaran kerja untuk mereka.

Pendek kata, siapa pun kita sama ada usahawan ataupun tidak, yang pasti zon selesa atau zon tidak selesa tidak mengenal semua itu. Kita sendiri yang perlu menilai diri masing-masing agar sentiasa ada keinginan untuk berubah dan memperbaiki diri.

Kadang-kadang kita ada melihat, pekerja makan gaji yang dikatakan amat asyik dengan zon selesa adalah lebih hebat dan keterhadapan berbanding usahawan yang dikatakan hebat di dalam zon tidak selesanya. Mengapa ini berlaku? Ya, usahawan tadi sedang asyik dalam zon selesa yang diciptanya sendiri.



Perkongsian sebahagian daripada artikel menarik ini saya ambil dari fan page Datuk Dr Maznah Hamid, https://www.facebook.com/maznahhamid . Seorang usahawan wanita yang berjaya dan ternama di Malaysia. Moga bermanfaat untuk renungan diri dan para suri di luar sana.







Jimat melalui penyusuan susu ibu

Teks : Zaida Zainol
Gambar : Google Images

Bulan ini anak bongsuku Ziqri berusia lapan bulan. Maka selama itulah juga Ziqri mendapat manfaat susu ibu secara eksklusif dari ibunya ini. Alhamdulillah, setakat ini Ziqri sihat walafiat, tidak kerap demam seperti kakak sulungnya sewaktu seusianya. Dapat juga berjimat ribuan ringgit setahun daripada membeli susu formula yang terdapat di pasaran. Ramadan bakal menjelma beberapa hari lagi, tentunya para ibu yang menyusu secara eksklusif tercari-cari makanan tambahan bagi memastikan stok susu ibu mencukupi. Terdapat beberapa kaedah dan jenis makanan disarankan kepada saya, tetapi saya cuma menyenaraikan beberapa kaedah yang telah saya praktikkan dan alhamdulillah, ia membantu. Antara tips membanyakkan stok susu ibu ialah :

Longan Kering.

Biasanya kita sering menemui buah longan segar atau ditinkan seperti buah laici. Ada juga yang memanggilnya sebagai buah mata kucing. Buah longan yang telah dikeringkan ini menyimpan khasiat yang bagus untuk ibu menyusu. Buah longan kering ini diperkenalkan oleh seorang rakan sekerja berbangsa cina. Menurutnya, buah ini bersifat 'sejuk' dan baik untuk kesihatan. (Ada pendapat daripada seorang rakan lain pula menyatakan buah ini bersifat 'panas'). Ia sangat mudah didapati di kedai ubat tradisional cina, juga adakalanya terdapat di beberapa pasaraya besar. Dalam bahasa Cina, ia dikenali sebagai 'geng geng'. Biasanya saya membeli buah yang sudah dikering, dibuang kulitnya dan siap dipek di kedai ubat cina dengan kadar RM5 sebungkus, untuk tiga hingga empat kali rebusan (Anggaran 15-18 biji sebungkus).
Untuk menyediakannya, saya cuma basuh bersih buah dan rebus bersama daun pandan sehingga buahnya hampir kembang dan tutup dengan penutup periuk sebelum menutup api. Biarkan selama 30 minit sebelum membuka penutup periuk dan menambah gula pasir/gula merah/gula batu bagi menyedapkan rasanya. Boleh tambah ais, jika mahu. Rasanya? Sangat sedap. Saya pernah menemui seorang penjaja di pasar malam menjual air ini dan sambutannya sangat menggalakkan. Cubalah ya.

Baby Kailan

Saya dan keluarga memang penggemar sayur kailan. Sayur ini adalah antara menu 'wajib' yang dipesan sewaktu berkunjung ke restoran ala Thai. Secara kebetulan, suatu hari saya membeli 'baby kailan' yang banyak dan menggorengnya untuk santapan tengahari. Pada hari yang sama saya mendapati stok susu terhasil lebih banyak daripada biasa. Eksperimen diuji lagi untuk kali kedua, tiga hari selepasnya dan alhamdulillah, berjaya. Sejak hari tersebut, saya mengamalkan sayur ini sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Horlicks

Saya juga amalkan meminum minuman horlicks bersama sedikit susu pekat menggantikan gula. Saya kurang menggemari susu tepung berbanding susu segar. Minuman ini juga sedikit sebanyak membantu penghasilan susu ibu, selain berkhasiat dan menambah tenaga sesuai untuk para ibu yang sentiasa cergas.

Kurma

Dikenali juga sebagai buah tamar, buah ini juga membantu menguatkan badan dan mengandungi pelbagai khasiat khusus untuk ibu yang mengandung dan menyusukan anak. Kadar vitamin yang diserap melalui pengambilan buah ini meningkatkan kualiti susu ibu dan mampu bertindak sebagai antibodi kepada bayi yang sangat mudah berisiko dijangkiti virus melalui sekitaran.