Wednesday 26 June 2013

Jimat melalui penyusuan susu ibu

Teks : Zaida Zainol
Gambar : Google Images

Bulan ini anak bongsuku Ziqri berusia lapan bulan. Maka selama itulah juga Ziqri mendapat manfaat susu ibu secara eksklusif dari ibunya ini. Alhamdulillah, setakat ini Ziqri sihat walafiat, tidak kerap demam seperti kakak sulungnya sewaktu seusianya. Dapat juga berjimat ribuan ringgit setahun daripada membeli susu formula yang terdapat di pasaran. Ramadan bakal menjelma beberapa hari lagi, tentunya para ibu yang menyusu secara eksklusif tercari-cari makanan tambahan bagi memastikan stok susu ibu mencukupi. Terdapat beberapa kaedah dan jenis makanan disarankan kepada saya, tetapi saya cuma menyenaraikan beberapa kaedah yang telah saya praktikkan dan alhamdulillah, ia membantu. Antara tips membanyakkan stok susu ibu ialah :

Longan Kering.

Biasanya kita sering menemui buah longan segar atau ditinkan seperti buah laici. Ada juga yang memanggilnya sebagai buah mata kucing. Buah longan yang telah dikeringkan ini menyimpan khasiat yang bagus untuk ibu menyusu. Buah longan kering ini diperkenalkan oleh seorang rakan sekerja berbangsa cina. Menurutnya, buah ini bersifat 'sejuk' dan baik untuk kesihatan. (Ada pendapat daripada seorang rakan lain pula menyatakan buah ini bersifat 'panas'). Ia sangat mudah didapati di kedai ubat tradisional cina, juga adakalanya terdapat di beberapa pasaraya besar. Dalam bahasa Cina, ia dikenali sebagai 'geng geng'. Biasanya saya membeli buah yang sudah dikering, dibuang kulitnya dan siap dipek di kedai ubat cina dengan kadar RM5 sebungkus, untuk tiga hingga empat kali rebusan (Anggaran 15-18 biji sebungkus).
Untuk menyediakannya, saya cuma basuh bersih buah dan rebus bersama daun pandan sehingga buahnya hampir kembang dan tutup dengan penutup periuk sebelum menutup api. Biarkan selama 30 minit sebelum membuka penutup periuk dan menambah gula pasir/gula merah/gula batu bagi menyedapkan rasanya. Boleh tambah ais, jika mahu. Rasanya? Sangat sedap. Saya pernah menemui seorang penjaja di pasar malam menjual air ini dan sambutannya sangat menggalakkan. Cubalah ya.

Baby Kailan

Saya dan keluarga memang penggemar sayur kailan. Sayur ini adalah antara menu 'wajib' yang dipesan sewaktu berkunjung ke restoran ala Thai. Secara kebetulan, suatu hari saya membeli 'baby kailan' yang banyak dan menggorengnya untuk santapan tengahari. Pada hari yang sama saya mendapati stok susu terhasil lebih banyak daripada biasa. Eksperimen diuji lagi untuk kali kedua, tiga hari selepasnya dan alhamdulillah, berjaya. Sejak hari tersebut, saya mengamalkan sayur ini sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Horlicks

Saya juga amalkan meminum minuman horlicks bersama sedikit susu pekat menggantikan gula. Saya kurang menggemari susu tepung berbanding susu segar. Minuman ini juga sedikit sebanyak membantu penghasilan susu ibu, selain berkhasiat dan menambah tenaga sesuai untuk para ibu yang sentiasa cergas.

Kurma

Dikenali juga sebagai buah tamar, buah ini juga membantu menguatkan badan dan mengandungi pelbagai khasiat khusus untuk ibu yang mengandung dan menyusukan anak. Kadar vitamin yang diserap melalui pengambilan buah ini meningkatkan kualiti susu ibu dan mampu bertindak sebagai antibodi kepada bayi yang sangat mudah berisiko dijangkiti virus melalui sekitaran.

No comments:

Post a Comment