APAKAH KITA BERADA DI ZON SELESA?
Cuba fikir dan renungkan sejenak. Seringkali kita mendengar dakwaan seperti ini:
1. Pekerja makan gaji berada dalam zon selesa, takut untuk berubah dan
melakukan sesuatu yang di luar kebiasaan. Golongan ini bukanlah golongan
yang hebat kerana mereka ada jaminan kerja.
2. Usahawan dikatakan sebagai seorang individu yang berani kerana masuk
ke dalam zon tidak selesa di mana mereka tiada gaji dan jawatan tetap.
Tetapi saya berfikir sejenak, betulkah andaian sebegini? Maka saya membuat kesimpulan berikut:
Pekerja makan gaji juga berada di dalam zon tidak selesa, di mana jika
mereka ponteng kerja, tidak ikut peraturan majikan, kerja tidak
berkualiti, tidak meningkatkan pengetahuan, maka pasti satu hari nanti
merea akan disingkirkan oleh majikan.
Usahawan juga berada di
dalam zon selesa, di mana sesetengah usahawan lebih selesa melakukan
sesuatu yang sudah biasa bagi mereka. Mereka TAKUT untuk bermain dengan
risiko yang lebih besar dan tidak biasa bagi mereka.
Usahawan
yang tidak berani melakukan sesuatu yang baru adalah usahawan yang sudah
selesa dengan usaha yang biasa dilakukannya sejak bertahun-tahun yang
lepas. Mereka tetap berada di takuk yang lama.
Pekerja makan
gaji yang tidak berhenti kerja dan menjadi usahawan tidak semestinya
takut untuk menjadi usahawan kerana seperti yang dinyatakan di atas,
mereka juga ada zon tidak selesa mereka sendiri.
Usahawan mampu mencipta zon selesanya sendiri dengan memutuskan untuk tidak melakukan sesuatu yang lebih besar dan mencabar.
Salah satu tanda usahawan yang berada di dalam zon selesa adalah
pendapatan mereka tidak meningkat bertahun-tahun lamanya, melakukan
perkara yang sama dan tiada peningkatan dalam usaha bisnes.
Pekerja makan gaji yang selesa dengan zon selesanya, akan terus dengan
sikap, perangai, fikiran dan ilmu yang sama. Orang lain sudah naik
pangkat, tapi dirinya masih ‘di meja yang sama’.
Pekerja makan
gaji yang dinamik faham bahawa jawatan kerja mereka bukanlah satu
jaminan. Maka mereka memperkasakan lagi diri dengan menambah ilmu dan
kemahiran, sama ada ia akan digunakan untuk naik pangkat, memohon
pekerjaan yang lebih mencabar dan berguna untuk mereka berdikari
andaikata tiada lagi tawaran kerja untuk mereka.
Pendek kata,
siapa pun kita sama ada usahawan ataupun tidak, yang pasti zon selesa
atau zon tidak selesa tidak mengenal semua itu. Kita sendiri yang perlu
menilai diri masing-masing agar sentiasa ada keinginan untuk berubah dan
memperbaiki diri.
Kadang-kadang kita ada melihat, pekerja
makan gaji yang dikatakan amat asyik dengan zon selesa adalah lebih
hebat dan keterhadapan berbanding usahawan yang dikatakan hebat di dalam
zon tidak selesanya. Mengapa ini berlaku? Ya, usahawan tadi sedang
asyik dalam zon selesa yang diciptanya sendiri.
Perkongsian sebahagian daripada artikel menarik ini saya ambil dari fan page Datuk Dr Maznah Hamid, https://www.facebook.com/maznahhamid . Seorang usahawan wanita yang berjaya dan ternama di Malaysia. Moga bermanfaat untuk renungan diri dan para suri di luar sana.
No comments:
Post a Comment