Wednesday 26 June 2013

Masterchef

Teks : Zaida Zainol
Gambar : Carian Google Images

Hari ini cuaca cukup segar, semangat untuk meneruskan rutin berkobar-kobar rasanya. Biasanya selepas solat dan mandi, saya akan memasak sarapan. Diikuti memasak makanan untuk tengahari dan meneruskan rutin-rutin biasa, usai anak-anak ke tadika. Sekitar jam sebelas pagi, saya menemani suami makan tengahari bersama sama, sebelum suami berangkat ke sekolah untuk bertugas. Suami saya seorang pendidik di sebuah sekolah di Pulau Pinang. Terlalu cepat masa berlalu dirasakan di waktu pagi, biasanya terkejar-kejar sehinggakan kadang-kadang mengumpamakan diri seperti menyertai pertandingan Masterchef Malaysia, cuma tiada hadiah dan tiada pesaing dari peserta lain, cuma masa yang menghambat diri kerana pelbagai tugasan lain menunggu untuk disiapkan. 


Bercerita mengenai program televisyen Masterchef, sebagai suri saya amat menggemari rancangan tersebut kerana adanya ilmu mengenai masakan yang disampaikan secara santai dan tidak formal. Tips menghias makanan, pengurusan masa dan teknik memasak adalah antara ilmu yang boleh diserap oleh para suri dalam menambah baik kualiti masakan kalian. Makanan yang dihasilkan dari air tangan ibu adalah masakan yang paling bersih, sedap dan berkualiti dari segi pemilihan bahan mentah hinggalah kepada penyediaaannya. Setiap basuhan beras dan ikan diiringi dengan selawat ke atas Rasulullah, teralir kasih suci yang ikhlas dari seorang ibu meresap ke dalam makanan. Inilah yang menguatkan ikatan kasih sayang seisi keluarga, membuatkan si anak yang jauh di perantauan sentiasa merindui masakan ibunya. Dan kerana itu, ramai yang mengakui  bahawa masakan ibu adalah masakan yang paling sedap di dunia.

No comments:

Post a Comment