Sunday 30 June 2013

Ubat cacing yang sedap

Hari ini saya ingin bercerita mengenai ubat cacing. Ubat cacing? Dengar sahaja ibu sebut ni, anak-anak dah mengelak. Tak sanggup makan ubat yang berwarna putih, likat dan sangat tidak sedap itu. Pening juga memikirkan alternatif yang sesuai diberi menggantikan ubat yang dibekalkan oleh jururawat. Ubat ini perlu diberikan kepada anak-anak setiap enam bulan sekali dalam satu dos sahaja bagi menangani masalah cacing yang biasa melanda kanak-kanak. Tak kira samada kanak-kanak itu sihat atau tidak, ubat ini disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai tindakan pengawalan penyakit yang mungkin menyerang kanak-kanak. 

Tahukah anda, cacing biasa masuk ke dalam tubuh kita melalui dua cara? 

1) Melalui telur cacing dari makanan yang kotor dan tercemar. 
2) Cacing ni mampu membolosi melalui penembusan jejentik ke kulit kita. 

Antara cacing yang kerap berada didalam tubuh kanak-kanak di Malaysia adalah :
  1. Cacing gelang (Ascaris Lumbricoides) – besar macam gelang, boleh memasuki hati dan paru-paru.
  2. Cacing kerawit (Necator Americanus) – mempunyai gigi yang tajam. Ia masuk melalui   kaki dan  kuat menghisap darah
  3. Cacing rambu atau cacing benang – selalu melekat di kawasan dubur, halus 
  4. Cacing pita – seperti pita, pipih tapi panjang, sukar untuk dibunuh.
       Di antara tanda-tanda anak yang mengalami masalah kecacingan ialah :
  • Keluar cacing daripada lubang najis, atau nampak cacing pada najis.
  • Kegatalan terutama di kawasan punggung, lebih pada waktu malam.
  • Sakit perut, cirit-birit, lemah badan, kembung.
  • Tiada selera makan, pucat, kurang berat badan walaupun selera makan ada.
  • Batuk-batuk teruk yang berpanjangan, batuk berdarah, asthma (cacing di paru-paru).
  • Demam, ruam-ruam badan, alahan.
  • Kaki gatal, sakit dan ruam pada kaki, bengkak kaki (untuk cacing kerawit).
 Terdapat dua jenis ubat cacing.

* Albendazole/mebendazole – Ubat ini tidak diserap di dalam badan, jadi ia tinggal di dalam usus besar dan kecil . Ia menghalang sistem kemasukan glukosa yang di perlukan untuk tenaga oleh cacing. Oleh itu, cacing tidak dapat bergerak aktif dan mati kemudiannya.

* Pirantel Pamoate – Ubat ini juga tidak larut di dalam air. ubat ini akan melumpuhkan otot cacing dan menyebabkan cacing-cacing tertanggal dari dinding usus dan dikeluarkan bersama-sama dengan najis.


Biasanya ubat cacing yang biasa digunakan ialah dari jenis Albendazole. Ia dicetak dibahagian hadapan pembungkus ubat tersebut, bagi memudahkan pengguna mengenalpasti ubat mana yang sesuai untuk anak mereka.

Selepas mencari sekian lama, akhirnya saya menemui satu jenama ubat cacing berbentuk tablet berperisa coklat. Terdapat dua biji untuk satu dos, kandungannya sama dengan ubat cecair yang dibekalkan oleh jururawat sebelum ini. Setelah mencuba, anak-anak dapat menerimanya dengan baik. Malahan meminta lebih banyak lagi. Aduhai anak-anak, ini bukan sebarangan gula-gula ya. Tetapi ubat yang tidak boleh diambil secara berlebihan. Menurut maklumat yang dibekalkan pengilang, terdapat sedikit kesan sampingan jika diambil secara berlebihan. Anda mungkin mempunyai sakit kepala, sakit perut atau loya semasa dirawat dengan Champs D-Worms 6 ®. Kesan-kesan sampingan ini lebih cenderung jika anda mengambil Champs D-Worms 6 ® untuk tempoh yang panjang, seperti selama sebulan. Jika anda mengambil Champs D-Worms 6 ® hanya sebagai satu dos, kesan-kesan sampingan ini biasanya tidak mungkin berlaku.








No comments:

Post a Comment