Friday, 28 June 2013

Makanan pengaruhi emosi suri

Teks : Zaida Zainol
Ilustrasi : Carian Google Images

Salam semua. Nak sarapan apa pagi ni ya? Hmmm. Jika di kawasan kejiranan saya ini, tak ada banyak pilihan selain kuih muih biasa, nasi lemak dan roti canai. Tetapi jika di Kelantan, menunya sangat pelbagai. Saya suka makan nasi berlauk gulai ayam, pau goreng berinti kacang merah, nasi kerabu daging bakar, ratusan kuih muih yang beraneka di pasar Siti Khatijah. Itu belum lagi menu makan tengahari, menu minum petang dan malam, juga makanan ringan di antara waktu makan. Pendek kata, saya mengiktiraf negeri Kelantan sebagai syurga makanan Melayu. Terdapat juga unsur pengaruh makanan Thailand yang sedap disini, sukar didapati di tempat saya seperti lok cheng dan aiskrim pulut (penjaja aiskrim tersebut perlu membuat satu pusingan untuk memasukkan semua belasan bahan didalam cawan aiskrim, sangat menarik). 

Ada pepatah inggeris mengatakan, bersarapanlah seperti seorang raja, tetapi makan malam seperti seorang miskin. Ini bermakna sarapan perlu berkhasiat dan mengenyangkan, persis seorang raja. Kerana makanan yang dihadam akan membekalkan tenaga yang secukupnya  untuk seharian. Namun, keadaan berbeza sekarang. Ramai cenderung untuk makan bermewah-mewah di waktu makan malam, kemudiannya terus tidur. Kadar kalori yang banyak itu tidak dibakar oleh badan, lalu karbohidrat yang disimpan untuk menghasilkan tenaga ditukar kepada lemak di dalam badan.  Itu antara penyebab kepada obesiti di kalangan rakyat Malaysia. 

Makanan juga mempengaruhi emosi seseorang. Makanan yang berkhasiat, walaupun ringkas dan sekadar mengalas perut mampu menjana tenaga dan daya fikir seseorang. Jika lapar, masakan dapat berfikir dengan fokus dan membuat keputusan dengan rasional. Sebab itulah, antara hikmah kita disunatkan untuk mengambil makanan semasa bersahur, tanda Allah amat menyayangi hambaNya. 









Wednesday, 26 June 2013

Tips mengenali kopi berkualiti



Teks : Zaida Zainol
Gambar : Carian Google Images

Hari ini saya cuba mencongak senarai panjang tugasan yang perlu dilakukan sepanjang hari ini. Oh, saya telah tertinggal satu perkara penting yang sememangnya menjadi rutin buat saya setiap bulan. Sebenarnya saya perlu memeriksa stok kopi kampung edaran saya dikedai-kedai runcit dan restoran berhampiran rumah  sebelum menentukan jumlah kilogram yang perlu saya bekalkan kepada mereka. Saya menjalankan perniagaan kopi kampung secara kecil-kecilan.Terdapat pelbagai jenis dan jenama kopi dipasaran. Cuma rasa dan harganyanya adalah berbeza. Bagi  peminat setia kopi, tentunya kopi asli menjadi pilihan. Jangan tersilap ya, kopi yang berjenama, mahal dan gah dipasaran tidak semestinya kopi yang betul-betul asli. Kopi yang saya hasilkan ini adalah daripada kopi yang benar-benar asli. Asli ini bermaksud tiada campuran kacang hijau, butiran gandum atau lain -lain bahan 'filler' (pemenuh) ke dalam ramuannya bagi tujuan mengurangkan kos pembuatan. Hasilnya, walaupun serbuk kopi ini pada fizikalnya sukar dibezakan, namun rasanya jelas ketara.
Berdasarkan pengalaman saya yang sedikit ini, ingin saya kongsikan beberapa tips mengenali kopi kampung yang berkualiti. Cuba kalian uji kopi kampung di rumah dengan sedikit ujikaji ringkas ini. Bancuh kopi dengan air mendidih dan perhatikan beberapa perbezaan (jika ada) samada kopi tersebut benar-benar asli atau tidak. Kopi yang bukan seratus peratus asli mempunyai rasa yang agak hanyir (lebih hanyir jika kuantiti biji gandum yang ditambah lebih banyak sukatannya), tidak likat walaupun kuantiti serbuk kopi ditambah dengan berlebihan. Bagi sesetengah kes, terdapat sedikit butiran putih yang halus terapung di permukaan cawan atau teko, bau kopi yang tidak 'kuat' dan rasa yang kurang sedap.

 Bunga Kopi

Buah Kopi

Bagi kalian yang ingin mencuba kopi saya, silalah berikan nama dan alamat surat menyurat di pn.zaidazainol@gmail.com , Insya Allah saya akan poskan sampel kopi terus ke rumah kalian dengan PERCUMA.


Surirumah sebagai usahawan

APAKAH KITA BERADA DI ZON SELESA?

Cuba fikir dan renungkan sejenak. Seringkali kita mendengar dakwaan seperti ini:

1. Pekerja makan gaji berada dalam zon selesa, takut untuk berubah dan melakukan sesuatu yang di luar kebiasaan. Golongan ini bukanlah golongan yang hebat kerana mereka ada jaminan kerja.

2. Usahawan dikatakan sebagai seorang individu yang berani kerana masuk ke dalam zon tidak selesa di mana mereka tiada gaji dan jawatan tetap.

Tetapi saya berfikir sejenak, betulkah andaian sebegini? Maka saya membuat kesimpulan berikut:

Pekerja makan gaji juga berada di dalam zon tidak selesa, di mana jika mereka ponteng kerja, tidak ikut peraturan majikan, kerja tidak berkualiti, tidak meningkatkan pengetahuan, maka pasti satu hari nanti merea akan disingkirkan oleh majikan.

Usahawan juga berada di dalam zon selesa, di mana sesetengah usahawan lebih selesa melakukan sesuatu yang sudah biasa bagi mereka. Mereka TAKUT untuk bermain dengan risiko yang lebih besar dan tidak biasa bagi mereka.

Usahawan yang tidak berani melakukan sesuatu yang baru adalah usahawan yang sudah selesa dengan usaha yang biasa dilakukannya sejak bertahun-tahun yang lepas. Mereka tetap berada di takuk yang lama.

Pekerja makan gaji yang tidak berhenti kerja dan menjadi usahawan tidak semestinya takut untuk menjadi usahawan kerana seperti yang dinyatakan di atas, mereka juga ada zon tidak selesa mereka sendiri.

Usahawan mampu mencipta zon selesanya sendiri dengan memutuskan untuk tidak melakukan sesuatu yang lebih besar dan mencabar.

Salah satu tanda usahawan yang berada di dalam zon selesa adalah pendapatan mereka tidak meningkat bertahun-tahun lamanya, melakukan perkara yang sama dan tiada peningkatan dalam usaha bisnes.

Pekerja makan gaji yang selesa dengan zon selesanya, akan terus dengan sikap, perangai, fikiran dan ilmu yang sama. Orang lain sudah naik pangkat, tapi dirinya masih ‘di meja yang sama’.

Pekerja makan gaji yang dinamik faham bahawa jawatan kerja mereka bukanlah satu jaminan. Maka mereka memperkasakan lagi diri dengan menambah ilmu dan kemahiran, sama ada ia akan digunakan untuk naik pangkat, memohon pekerjaan yang lebih mencabar dan berguna untuk mereka berdikari andaikata tiada lagi tawaran kerja untuk mereka.

Pendek kata, siapa pun kita sama ada usahawan ataupun tidak, yang pasti zon selesa atau zon tidak selesa tidak mengenal semua itu. Kita sendiri yang perlu menilai diri masing-masing agar sentiasa ada keinginan untuk berubah dan memperbaiki diri.

Kadang-kadang kita ada melihat, pekerja makan gaji yang dikatakan amat asyik dengan zon selesa adalah lebih hebat dan keterhadapan berbanding usahawan yang dikatakan hebat di dalam zon tidak selesanya. Mengapa ini berlaku? Ya, usahawan tadi sedang asyik dalam zon selesa yang diciptanya sendiri.



Perkongsian sebahagian daripada artikel menarik ini saya ambil dari fan page Datuk Dr Maznah Hamid, https://www.facebook.com/maznahhamid . Seorang usahawan wanita yang berjaya dan ternama di Malaysia. Moga bermanfaat untuk renungan diri dan para suri di luar sana.







Jimat melalui penyusuan susu ibu

Teks : Zaida Zainol
Gambar : Google Images

Bulan ini anak bongsuku Ziqri berusia lapan bulan. Maka selama itulah juga Ziqri mendapat manfaat susu ibu secara eksklusif dari ibunya ini. Alhamdulillah, setakat ini Ziqri sihat walafiat, tidak kerap demam seperti kakak sulungnya sewaktu seusianya. Dapat juga berjimat ribuan ringgit setahun daripada membeli susu formula yang terdapat di pasaran. Ramadan bakal menjelma beberapa hari lagi, tentunya para ibu yang menyusu secara eksklusif tercari-cari makanan tambahan bagi memastikan stok susu ibu mencukupi. Terdapat beberapa kaedah dan jenis makanan disarankan kepada saya, tetapi saya cuma menyenaraikan beberapa kaedah yang telah saya praktikkan dan alhamdulillah, ia membantu. Antara tips membanyakkan stok susu ibu ialah :

Longan Kering.

Biasanya kita sering menemui buah longan segar atau ditinkan seperti buah laici. Ada juga yang memanggilnya sebagai buah mata kucing. Buah longan yang telah dikeringkan ini menyimpan khasiat yang bagus untuk ibu menyusu. Buah longan kering ini diperkenalkan oleh seorang rakan sekerja berbangsa cina. Menurutnya, buah ini bersifat 'sejuk' dan baik untuk kesihatan. (Ada pendapat daripada seorang rakan lain pula menyatakan buah ini bersifat 'panas'). Ia sangat mudah didapati di kedai ubat tradisional cina, juga adakalanya terdapat di beberapa pasaraya besar. Dalam bahasa Cina, ia dikenali sebagai 'geng geng'. Biasanya saya membeli buah yang sudah dikering, dibuang kulitnya dan siap dipek di kedai ubat cina dengan kadar RM5 sebungkus, untuk tiga hingga empat kali rebusan (Anggaran 15-18 biji sebungkus).
Untuk menyediakannya, saya cuma basuh bersih buah dan rebus bersama daun pandan sehingga buahnya hampir kembang dan tutup dengan penutup periuk sebelum menutup api. Biarkan selama 30 minit sebelum membuka penutup periuk dan menambah gula pasir/gula merah/gula batu bagi menyedapkan rasanya. Boleh tambah ais, jika mahu. Rasanya? Sangat sedap. Saya pernah menemui seorang penjaja di pasar malam menjual air ini dan sambutannya sangat menggalakkan. Cubalah ya.

Baby Kailan

Saya dan keluarga memang penggemar sayur kailan. Sayur ini adalah antara menu 'wajib' yang dipesan sewaktu berkunjung ke restoran ala Thai. Secara kebetulan, suatu hari saya membeli 'baby kailan' yang banyak dan menggorengnya untuk santapan tengahari. Pada hari yang sama saya mendapati stok susu terhasil lebih banyak daripada biasa. Eksperimen diuji lagi untuk kali kedua, tiga hari selepasnya dan alhamdulillah, berjaya. Sejak hari tersebut, saya mengamalkan sayur ini sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Horlicks

Saya juga amalkan meminum minuman horlicks bersama sedikit susu pekat menggantikan gula. Saya kurang menggemari susu tepung berbanding susu segar. Minuman ini juga sedikit sebanyak membantu penghasilan susu ibu, selain berkhasiat dan menambah tenaga sesuai untuk para ibu yang sentiasa cergas.

Kurma

Dikenali juga sebagai buah tamar, buah ini juga membantu menguatkan badan dan mengandungi pelbagai khasiat khusus untuk ibu yang mengandung dan menyusukan anak. Kadar vitamin yang diserap melalui pengambilan buah ini meningkatkan kualiti susu ibu dan mampu bertindak sebagai antibodi kepada bayi yang sangat mudah berisiko dijangkiti virus melalui sekitaran.

Masterchef

Teks : Zaida Zainol
Gambar : Carian Google Images

Hari ini cuaca cukup segar, semangat untuk meneruskan rutin berkobar-kobar rasanya. Biasanya selepas solat dan mandi, saya akan memasak sarapan. Diikuti memasak makanan untuk tengahari dan meneruskan rutin-rutin biasa, usai anak-anak ke tadika. Sekitar jam sebelas pagi, saya menemani suami makan tengahari bersama sama, sebelum suami berangkat ke sekolah untuk bertugas. Suami saya seorang pendidik di sebuah sekolah di Pulau Pinang. Terlalu cepat masa berlalu dirasakan di waktu pagi, biasanya terkejar-kejar sehinggakan kadang-kadang mengumpamakan diri seperti menyertai pertandingan Masterchef Malaysia, cuma tiada hadiah dan tiada pesaing dari peserta lain, cuma masa yang menghambat diri kerana pelbagai tugasan lain menunggu untuk disiapkan. 


Bercerita mengenai program televisyen Masterchef, sebagai suri saya amat menggemari rancangan tersebut kerana adanya ilmu mengenai masakan yang disampaikan secara santai dan tidak formal. Tips menghias makanan, pengurusan masa dan teknik memasak adalah antara ilmu yang boleh diserap oleh para suri dalam menambah baik kualiti masakan kalian. Makanan yang dihasilkan dari air tangan ibu adalah masakan yang paling bersih, sedap dan berkualiti dari segi pemilihan bahan mentah hinggalah kepada penyediaaannya. Setiap basuhan beras dan ikan diiringi dengan selawat ke atas Rasulullah, teralir kasih suci yang ikhlas dari seorang ibu meresap ke dalam makanan. Inilah yang menguatkan ikatan kasih sayang seisi keluarga, membuatkan si anak yang jauh di perantauan sentiasa merindui masakan ibunya. Dan kerana itu, ramai yang mengakui  bahawa masakan ibu adalah masakan yang paling sedap di dunia.

Jerebu oh jerebu

Teks : Zaida Zainol
Grafik : Carian Google Images


Hari ini hujan turun dengan lebatnya. Syukur alhamdulillah, hujan yang turun membawa sejuta rahmat bagi mereka yang bersyukur. Ketika ini, jerebu mulai melanda negeri-negeri di selatan, dan makin berlarutan ke bahagian tengah. Syukur di Kedah ini keadaan udaranya masih baik, cuma kelibat jerebu sedikit- sedikit, tidaklah sampai meghadkan penglihatan.

Jerebu merupakan fenomena atmosfera yang berlaku apabila debu, asap dan zarah pencemaran lain yang terdiri daripada habuk, jelaga, debu, abu dan gas pada atmosfera rendah iaitu pada kedudukan di bawah paras 2 km. Walaupun fenomena ini diihat mengaburi pemandangan indah ciptaan Allah, namun beberapa gas berbahaya turut terapung bersama jerebu iaitu karbon monoksida, methana, nitrat berasid, sulfat berasid dan lain lain kimia. Gambarajah di bawah menunjukkan faktor-faktor yang menyumbang kepada kewujudan jerebu dan kesan daripadanya.


 

Sedikit panduan buat para suri, amalkan meminum banyak air masak, pakai penutup hidung yang sesuai dan kurangkan aktiviti di luar rumah. 

Monday, 20 May 2013

Cheezy sauce

Teks dan gambar : Zaida Zainol


Sarapan pagi adalah antara aktiviti yang sering diabaikan oleh kita kerana sering kesuntukan masa. Hakikatnya, sarapan penting bagi menjana tenaga bagi melakukan aktiviti seharian. Anak-anak saya juga sering mengelak dari mengambil sarapan. Sebagai ibu, saya perlu kreatif merangka menu yang menepati selera keluarga disamping mengambil kira nutrisi yang diperlukan untuk kesihatan kami sekeluarga. Mungkin ada para ibu di luar sana yang buntu dalam menyediakan menu untuk keluarga. Mungkin juga antara menu keluarga kami boleh diadaptasi oleh anda sebagai antara menu kegemaran keluarga anda juga.

 
Menu pagi sebelum ke sekolah.
Roti telur bakar bersama 'cheezy wedges and sausages'

Resepi Cheesy wedges ala KFC
Pilih ubi kentang (sebaiknya jenis 'Russet' yang paling sesuai - boleh didapati di pasaraya besar Econsave, Giant, Tesco dan lain-lain). Jika tiada, ubi kentang yang biasa didapati di kedai runcit/pasar basah (Holland potato) juga boleh digunakan. Bersihkan kentang, rebus atau kukus tanpa dikupas kulitnya bagi mengekalkan khasiat dan memudahkan ianya dikupas kelak. Bila sudah empuk, barulah dikupas kulitnya (bagi Russet potato, kulit kentang tidak perlu dikupas kerana apabila digoreng, ia akan menjadi rangup dan terkopek dengan sendiri). Potong nipis kentang secara 'wedges'/baji, umpama wedges dari KFC. Setiap biji kentang Russet boleh menghasilkan 8-12 keping wedges. Pastikan minyak betul-betul panas sebelum menggoreng kentang tersebut dengan kaedah gorengan terendam/ 'deep-fried' selama 3 minit sahaja. Angkat dan toskan kentang tersebut. Bancuh 3 sudu besar serbuk keju dengan 6 sudu air panas/suam. Kacau selama satu minit untuk sebati dan mengelakkan serbuk dari bergumpal. Tuang sos keju diatas kentang yang telah disusun didalam pinggan diikuti oleh mayonis. Tak perlu garam / penambah perisa kerana sos keju tersebut sudah sedia masin. Nah, tersedia satu sarapan hebat untuk kanak-kanak riang. Saya biasa merebus sekilo kentang setiap minggu, potong dan disejukbekukan dan ianya boleh digunakan bila-bila masa yang saya inginkan. Bagi yang inginkan serbuk keju serbaguna ini, sila hubungi saya 011-15346073 untuk tempahan.
 
Serbuk keju serbaguna i-Mukmin

HARGA : 

1 -5 paket RM15 / peket

6 - 10 paket RM14/ peket
11 peket dan ke atas : Hubungi saya untuk harga istimewa

KOS POS :
1-2 paket - SM RM6, Sarawak RM9, Sabah RM10
3 paket - SM RM6, Sarawak RM11, Sabah RM12.50
4 paket - SM RM9, Sarawak RM 13, Sabah RM15
5 paket - SM RM9, Sarawak RM 15, Sabah RM18
6 paket - SM RM9, Sarawak RM17, Sabah RM21
7 paket - SM RM9, Sarawak RM 19, Sabah RM23
8 paket - SM RM9, Sarawak RM19, Sabah RM23
9 paket - SM RM9, Sarawak RM21, Sabah RM26
10 paket - SM RM9, Sarawak RM21, Sabah RM26