Saturday, 5 October 2013

Tanaman - Bahagian 3

Teks : Zaida Zainol
Gambar : Google



Hari ini hujan lebat di waktu pagi. Nyamannya begitu mengasyikkan. Apabila hujan sudah reda, saya bergegas keluar menanam tebu yang terbiar terendam bersama air didalam baldi hampir seminggu lamanya. Alhamdulillah, ini baldi yang terakhir. Saya suka bertani selepas hujan kerana tanah menjadi lembut dek siraman air hujan yang turun bertalu-talu. Lebih memudahkan kerja dan mengurangkan sedikit tenaga yang diperlukan untuk membuat lubang dan menggembur tanah. Saya membeli benih tebu dari seorang kenalan dalam jumlah yang agak banyak, iaitu kira-kira satu guni. Menurut tuan punya ladang tebu, tebu perlu dimiring atau dibaringkan supaya mempercepat tumbesaran pokok tersebut. Kaedah menanam secara menegak tidak sesuai diaplikasikan untuk tanaman ini. Walaupun ia tetap bertunas dan membesar, tetapi kebarangkalian untuk mencambahkan anak pokok yan banyak adalah lebih rendah dibandingkan dengan tanaman secara melintang. Pulang ke rumah, saya membahagikannya kedalam beberapa baldi berisi air bagi menggalakkan kemunculan akar dari setiap ruas. Terdapat dua bahagian tebu iaitu bahagian pucuk dan bahagian batang tebu yang boleh dijadikan benih. Selain mempercepatkan tumbesaran pokok melalui tunas dan akar, kaedah ini perlu jika saya tidak sempat menanam kesemuanya dalam satu masa sekaligus. Beberapa bulan lepas, saya ada menanam kira-kira 25 benih tebu yang terdiri daripada batang dan pucuknya. Namun, kurangnya penjagaan khusus buat benih ni yang memerlukan siraman air yang kerap sewaktu di awal tumbesarannya. Ditambah dengan musim kemarau dan serangan anai-anai yang memakan bahagian dalam tebu ini yang sangat manis. Tebu yang ditanam cuma dapat bertahan sekitar 3 batang sahaja. Yang lainnya cuma tinggal kulit luarannya sahaja. Saya berazam untuk menanam sekali lagi, kali ini dengan semangat untuk lebih memberi perhatian kepada penanaman kali kedua ini.


 Tebu segar

Wednesday, 2 October 2013

Solusi menjimatkan keperluan dapur

Teks : Zaida Zainol
Gambar :  Pemilik blog

Assalamualaikum

Entri kali ini masih berkisar tentang solusi menjimatkan keperluan dapur yang saya amalkan. Saya akui, jika anda mengikuti tips yang saya nyatakan dalam siri-siri terdahulu dan akan datang, ia tidak akan membuatkan anda kaya raya hasil dari penjimatan tersebut. Tetapi  pada saya, ia lebih kepada beberapa faktor :

1) Emosi dan serapan aura positif  - Gembira melihatkan perkembangan pokok-pokok yang membesar saban hari.

2) Kos  - Ya, adakalanya saya tidak perlu keluar membeli sayuran untuk hari tersebut dengan hanya mengutip tumbuhan yang ada di sekitar rumah

3) Timbal balik dan berasimilasi dengan alam sekitar  - Manusia dan tumbuhan saling memerlukan dalam pembekalan oksigen dan karbon dioksida

4) Penyuburan tanah  - Tanah yang ditanam dengan pelbagai tumbuhan lebih tinggi khasiat nutriennya dan lebih baik daripada tanah gersang yang keras tanpa tanaman. 

5) Ladang pahala - Tak mungkin kami sekeluarga dapat menghabiskan setandan pisang dalam tempoh yang singkat. Paling banyak, cuma dua sikat pisang. Jadi, ada sekurang-kurangnya lapan ikat pisang lagi yang merupakan nikmat Allah yang disalurkan rezekiNya kepada kami sekeluarga untuk bahagian orang lain. Kalau dibiarkan juga pisang tersebut, ianya akan berulat dan tidak boleh dimakan lagi. Bahagian lain itulah kami sedekahkan pada jiran dan saudara untuk dinikmati bersama. Kita tidak perlu tergolong dalam golongan yang kaya dengan wang untuk memungkinkan kita bersedekah. Banyak lagi cara lain, dan ini adalah salah satu alternatifnya.

6) Mengukuhkan persahabatan dengan jiran - Adakalanya apabila terlalu sibuk dengan rutin harian, kita tidak sempat untuk berbual dan menyapa jiran sekitar. Gembirakan jiran anda dengan bertanya khabar mereka sekali sekala sambil membawa buah tangan hasil tanaman anda. Bukankah tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima. Tentu mereka berbesar hati menerima hadiah anda walaupun nilainya sangat kecil, tetapi besar di mata mereka.



Lima pokok pisang kami berbuah serentak, sekaligus menghasilkan lima jantungnya. 
Jantung pisang ini sedap direbus dan dibuat ulam bercicahkan sambal belacan, sambal tempoyak atau budu. 
Boleh dijadikan kerabu, dibuat kari bersama ikan bilis atau daging lembu, juga pajeri bersama nenas dan terung. Ada banyak lagi masakan berasaskan jantung pisang ini, anda boleh bereksperimen di dapur dan sesuaikannya mengikut selera keluarga.



Saturday, 28 September 2013

Tanaman - Bahagian 2

Teks dan gambar : Zaida Zainol

Berikutan entri saya terdahulu, dikongsikan tentang tanaman yang mudah hidup tanpa perlu penjagaan yang teliti. Cukup dengan menyiram air secara berkala di fasa-fasa terawalnya. Kali ini saya kongsikan mengenai tanaman 3T.  Apa itu 3T?  Ia adalah singkatan daripada - Tabur, Tinggal dan Tuai. Tanaman seperti ubi kayu, peria katak, cili, pegaga, pudina, tebu dan  kangkung  adalah tanaman yang sangat mudah ditanam. Biasa saya gunakan istilah 3T ini sebagai metafora daripada kaedah penanaman dan penyelenggaraannya yang sangat minimum. Hanya cucuk batang ubi kayu atau tebu, Insya Allah akan tumbuhlah pucuk pada setiap ruasnya. Tabur sahaja biji betik, peria katak dan cili. Insya Allah akan tumbuh anak pokoknya beberapa minggu kemudiannya.  Cuma tanam  bawang besar, akar daun pudina  atau kangkung, Insya Allah akan bercambahlah tunasnya.  Lempar sahaja batang kangkung ke tanah, Insya Allah bertunasnya anak pokok pada setiap setiap ruasnya. Semua pokok yang saya nyatakan disini telahpun saya aplikasikan di halaman sendiri. Hasilnya cukup mengujakan. Saya suka mengutip kangkung dengan memotong dari bahagian daun ke tangkainya sahaja. Batang dan bunganya dibiarkan hidup dan bagi memberi peluang pokok tersebut meneruskan legasinya menambahbiak habitatnya untuk dituai  lagi pada bulan hadapan. Tambahan pula anak-anak gemar menikmati kangkung tetapi menolak bahagian batangnya yang keras. Jadi, setiap kali membeli kangkung, suatu keseronokan pula bagi anak-anak untuk membantu saya di dapur secara sukarela dengan menawarkan diri untuk mengasingkan daun dari batangnya. Batang kangkung ini saya lemparkan pada rumpunan kangkung yang sedang merimbun, bagi menambahkan jumlahnya dimasa akan datang. 

Saya suka melihat lubang-lubang yang terdapat pada helaian dedaunannya. Menunjukkan ianya seratus peratus organik. Tiada pencemaran bahan kimia beracun yang menyelaputi tanaman saya. Disamping itu, saya juga berniat dengan menanam tanaman ini, saya dapat meraih pahala dan mewujudkan persekitaran seimbang dengan makhluk lain dengan membantu membekalkan makanan kepada ulat (dan siput babi) yang meratah tanaman saya setiap hari. Sebagai timbal balik, tanaman ini juga merupakan penyumbang oksigen kepada alam sekitar selain membekalkan serat dan nutrisi yang banyak untuk kesihatan tubuh badan kami sekeluarga. Biasanya sekali tuaian cukup untuk dibuat sarapan pagi 'colek malah' (hidangan tradisi masyarakat kelantan seumpama cucur udang tetapi menggantikan kucai dan dan tauge dengan  sayur kangkung segar. Walaupun disebut colek malah (malas) tetapi memerlukan kerajinan juga untuk membuatnya ya) dan satu hidangan kangkung goreng belacan untuk makan tengahari. Sungguh menjimatkan.



Hasil tuaian bernilai RM 3.00 (harga pasaran di tempat saya)

Thursday, 26 September 2013

Tanaman - Bahagian 1

Teks dan gambar : Zaida Zainol

Kenaikan harga barangan utama saban hari memang merunsingkan semua. Apatah lagi yang membabitkan keluarga berpendapatan sederhana dan rendah. Bagi keluarga kami, sesekali menjamah makanan yang dipetik di halaman rumah sendiri memang mengujakan. Tambahan lagi ianya bebas sama sekali dari diselaputi sebarang racun perosak yang  biasa digunakan para petani komersial sebagai langkah pengawalan serangga perosak. Sekalipun cabaran kami dalam menanam hasil tanaman sendiri agak mencabar, namun kami  berusaha secara 'cuba dan gagal' atau 'trial and error' tanaman yang sesuai ditanam disebabkan kekangan yang melanda. Antara masalah kami ialah serangan anai-anai yang cukup banyak dan kerap menyerang dan berumah di sekitar tanaman yang ditanam.  Begitu juga tanah bercampur batu yang terhasil dari sisa pembinaan yang dilonggokkan di kawasan bertanah di sekitar halaman rumah. Hasilnya, banyak pokok yang mati sebelum sempat membesar. Bukan calang-calang pokok yang mampu hidup disekitaran begitu. Namun, ada juga yang mampu menyesuaikan diri disini dan hidup dengan subur walaupun mengambil tempoh yang agak lama daripada biasa. Contohnya pokok pisang, lengkuas dan serai yang mempunyai daya kekebalan yang tinggi berbanding pokok-pokok lain. Kami sebenarnya cuma mendiami rumah teres dengan keluasan tanah yang terhad. Keseronokan memiliki rumah sendiri setelah beberapa tahun menyewa mencambahkan minat terhadap tanaman. Seronoknya bila tiba tempoh tuaian, memang teruja mencabut serai dan lengkuas, menyisihkan pisang dari tandannya dan membahagi-bahagikan kesemuanya kepada para jiran.  Moga-moga ini menjadi sedekah jariah buat kami sekeluarga, buat bekal di alam sana. Disamping itu, dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama jiran  dan menjimatkan belanja dapur, walaupun dalam kuantiti yang sedikit. Buat para suri yang bekerja di luar mahupun sepenuh masa, jom kita bertani sambil beribadat.



Sebahagian lengkuas jenis tempatan yang dituai ramadan lalu berjumlah lebih 10kg. 
Si kecil ini bertindak sebagai penghias gambar.

Tuesday, 17 September 2013

Kembali semula


Teks : Zaida Zainol

Bismillah.Alhamdulillah.

Sudah berbulan lamanya saya tidak mengemaskini blog ini. Sepanjang hari sibuk dengan urusan keluarga dan bisnes, saya meninggalkan blog ini bersawang. Maafkan saya. Mesej whatsapp yang penuh kasih sayang dari adik saya jumaat lepas jauh di perantauan agar saya kembali menulis sehingga berjaya ke peringkat menulis senaskah buku. Teruja mendengarkan khabarnya apabila beliau sudah pun berjaya menyiapkan senaskah buku dan telah diluluskan penerbitannya di Malaysia. Insya Allah akan dipasarkan di Malaysia tidak lama lagi. Ini membuatkan ingatan saya terpanggil secara automatik untuk kembali menyerap ilmu bersama rakan-rakan Akademi di Kelas Asas Blog dan Penulisan dengan kembali menulis blog ini. Apa yang mengkagumkan saya mengenai adik yang seorang ini,  beliau sangat berbakat dalam penulisan. Walaupun bukanlah selebriti, tidak juga pernah menghiasi dada akhbar mahupun tv.  Tulisannya sangat dinanti-nanti peminatnya. Setiap statusnya yang ditulis di facebook adakalanya mendapat ribuan 'LIKE' dan ratusan 'SHARE'. Hmm. Jam sudah menginjak hampir senja. Jumpa lagi ya.

Friday, 26 July 2013

Juadah tradisional sepanjang zaman

Teks : Zaida Zainol

Serunding merupakan juadah tradisional yang sangat diminati sepanjang zaman. Menghampiri 18 Ramadan, demam membeli belah untuk persiapan raya sudah bermula. Bermulanya hari ini, servis COD serunding kami di sekitar parit buntar, nibong tebal, jawi, kulim, sungai karangan dan padang serai. Kini anda juga boleh mendapatkan produk serunding kami di lokasi berikut :
 • Ruang legar kompleks KHTP (Gerai jualan berhadapan pintu masuk Maybank cawangan High Tech Kulim).
 • D’Laila Cake & Cookies (belakang Bank Muamalat Kulim).
 • Perniagaan Berkat Ali. Taman Mutiara, Sungai Kob.
 • Kedai Runcit Hj Zul (Sebelumnya dikenali sebagai Kedai Koperasi Penduduk Muslim Desa Aman), Taman Desa Aman, Padang Meha. 
 * Kompleks AEON (Jusco) Seberang Perai, Pulau Pinang. (Berhadapan outlet Hush Puppies dan BUM Equipment)
* Pasar Mini MUAZ, Taman Pekaka, Nibong Tebal. (Berhadapan Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia cawangan Transkrian)

 Dapatkan serunding anda sekarang. Stok adalah terhad di setiap lokasi.

Wednesday, 17 July 2013

Solusi juadah hari raya

Teks : Zaida Zainol

Mungkin anda pernah mengalami salah satu situasi di bawah ini : 

 • Sering terperangkap di dalam kesesakan jalanraya dan tidak sempat membeli juadah di pasar Ramadan. Biasanya berbuka puasa hanya di dalam kereta dengan bekal makanan yang ringkas, sementara menunggu sampai di rumah.
• Ingin mengubah selera menu berbuka puasa di dalam kereta yang biasa seperti roti krim, roti kaya, kek pandan atau biskut kepada roti berinti serunding ayam dan daging.
 • Agak terlewat bangun sahur. Tentunya agak panik apa yang hendak dimasak dalam tempoh sebegitu genting. Serunding boleh dijadikan sebahagian daripada lauk untuk bersahur atau berbuka yang mengenyangkan.
 • Teringin untuk menikmati serunding yang sedap, tetapi memikirkan proses pembuatannya yang remeh dan kos yang tinggi, tidak berbaloi untuk menyediakannya sendiri.
• Tidak perlu bersusah payah mencari dan membersih daging dan ayam, merebus berjam-jam lamanya, menyiat daging sehalusnya, menyiang bawang, lada dan bermacam rempah ratus, memerah santan dan yang paling penting sekali menghasilkan serunding yang benar-benar sedap, macam mak masak.
 • Ingin mendapatkan bekalan serunding sebagai sebahagian juadah hari raya aidilfitri, aidiladha dan rumah terbuka. Agak mudah menemui rendang ayam dan daging dihidangkan di rumah yang anda dikunjungi. Tetapi tidak ramai tuan rumah yang menyediakan serunding sebagai antara menu utama mereka berikutan proses pembuatannya yang mengambil masa yang lama.
 • Serunding kami tahan sehingga enam bulan. Pembelian hari ini (Julai 2013) akan membolehkan anda menyimpan serunding sehingga Januari 2014. Jadi, serunding yang mungkin berbaki di rumah anda semasa hari raya aidilfitri masih boleh digunakan bagi juadah hari raya aidiladha juga.
 • Ingin menyediakan bekal buat anak yang bakal pulang ke asrama/IPT/rumah masing-masing sebaik tamat cuti hari raya sebagai mengubat kerinduan anak tersayang terhadap masakan bonda. • Ingin dihadiahkan kepada ibu bapa, saudara dan rakan bila berkunjung ke rumah mereka, bila-bila masa.
 • Sebagai buah tangan buat ibu bapa, saudara dan rakan sebelum mereka bertolak untuk menunaikan haji dan umrah dan bakal meraikan hari raya aidiladha di tanah suci, terutamanya buat bakal jemaah yang lebih menggemari selera tempatan.
 • Tidak pasti dengan kualiti dan kebersihan serunding yang dijual di pasar kerana terdedah sepanjang hari di tempat terbuka dalam tempoh yang lama. Produk kami melalui piawaian kualiti dan kebersihan yang sangat tinggi, serta di pek dalam persekitaran ‘clean room’. Jadi, anda tidak perlu risau lagi dengan kualitinya.
 • Ingin menikmati serunding yang sedap tetapi sukar mendapatkannya atau tidak mempunyai masa untuk berkunjung ke bazaar Ramadan atau kedai-kedai berdekatan. Produk kami akan dihantar terus kepada anda melalui POSLAJU. Ini dapat menjimatkan kos petrol dan tol, serta masa berkualiti anda.

Hubungi saya  melalui PM disini untuk tempahan kerana stok adalah sangat terhad.